h1

ISLAM MENDORONG KEMAJUAN

November 12, 2006

Disiarkan di Berita Harian, 5 Mei 2006Antara sifat utama agama Islam ialah dorongannya kepada pencapaian kemajuan manusia dalam segenap kehidupan di dunia ini. Memandangkan kemajuan merupakan suatu tuntutan semulajadi atau fitrah setiap diri manusia, kedatangan Islam adalah pelengkap kepada proses penyempurnaan tuntutan fitrah tersebut.

Apabila agama Islam mula dikembangkan di Tanah Arab, mesej utama seruannya ialah bagi mengajak masyarakat menuju kemajuan hidup. Islam menganjurkan masyarakat Arab menolak cara hidup yang telah membawa masyarakatnya kepada kemunduran. Era `kegelapan’ yang menjadi ciri utama masyarakat Arab pada waktu itu, perlu diperbaharui dengan cara hidup baru yang akan membawa kepada kemajuan. Dalam erti kata lain, agenda kemajuan merupakan tema utama seruan agama Islam kepada masyarakat Arab.

Oleh kerana itu, agama Islam ditanggap sebagai satu keperluan fitrah bagi mereka. Islam dan kemajuan dirasai terlalu sinonim. Keadaan demikian menyebabkan hampir seluruh masyarakat Arab berpusu-pusu menganut seruan Islam kerana tidak ingin terpinggir dan ketinggalan dari arus kemajuan yang dibawa oleh agama Islam. Islam pada waktu itu menjadi satu
gaya hidup yang dibanggai dan terhormat.

Selain faktor keintiman seruan Islam dan dorongan terhadap kemajuan, faktor lain yang menyumbang masyarakat Arab beralih kepada Islam ialah kegagalan fahaman berhala yang merupakan teras kepercayaan masyarakat Arab pada waktu itu.

Fahaman berhala bersifat anti-fitrah, diasaskan pada asas kepercayaan mistik, khayalan dan dipenuhi dengan tahyul. Ia juga ditanggap sekadar amalan ritual nenek moyang yang diwarisi menerusi percakapan lisan dan adat turun temurun. Ia juga hanya berkisar tentang tatacara individu dalam mengendalikan urusan kehidupan peribadi, kekeluargaan dan masyarakat secara terbatas. Fahaman berhala tidak mengandungi dorongan dan seruan ke arah perubahan dan kemajuan. Ia tidak mempunyai perspektif yang jelas tentang kerangka cita-cita yang luhur serta batas-batas moral dan etika yang unggul.

Ini berlainan dengan seruan agama Islam yang meletakkan piawai terunggul dalam segala aspek berkaitan urusan manusia samada berbentuk moral dan perundangan. Berasaskan piawai yang luhur tersebut, manusia didorong untuk meningkatkan keupayaan diri, mengiktiraf kegigihan dan ikhtiar manusia dan menyeru kepada kesaksamaan dan keadilan. Seruan Islam juga tertumpu kepada kepentingan sikap kebertanggongjawaban terhadap kemanusian sejagat dan kewajipan melakukan pembaharuan bagi menyumbang kepada perubahan dunia.

Agama Islam telah menggariskan sistem moral dan perundangan yang tetap berasaskan prinsip karamah insaniyyah – kehormatan bagi setiap insan. Asas kesaksamaan dan kebebasan menjadi ciri terpenting agama Islam. Hak-hak asasi setiap warga masyarakat dijamin menerusi peraturan perundangan yang adil. Ketaatan manusia pula bukan lagi kepada manusia yang setaraf dengannya, tetapi kepada Allah, sebagai Tuhan yang Esa. Tiada yang lebih tinggi atau rendah statusnya dalam sistem sosial masyarakat. Kesemua anjuran dari seruan ini sebenarnya suatu yang sungguh sebati dan intim sekali dengan fitrah diri manusia.

Apabila seruan agama tergabung dalam fitrah manusia, kesannya ialah usaha dan kegigihan bagi meningkatkan keupayaan diri dan masyarakat. Dalam kata lain, ia mendorong kepada kemajuan manusia. Kemajuan yang ingin dicapai pula bukan sekadar terbatas bagi tujuan kepuasan diri, tetapi bagi matlamat yang lebih unggul iaitu bagi memberi kesejahteraan kepada umat sejagat dan keamanan bagi seluruh manusia.

Seruan dan dorongan ini merupakan inti utama ajaran Islam yang telah menyumbang kepada perkembangan Islam dengan begitu pantas. Keupayaan agama Islam tersebar pantas di era awal perkembangannya ialah kerana inti utama ajaran Islam ditanggap dengan penuh kesedaran dan kefahaman serta memenuhi keadaan fitrah atau tuntutan semulajadi manusia yang mengingini nilai-nilai kemajuan dalam hidup secara fizikal dan rohani.

Akibatnya, seruan Islam ibarat satu `kuasa’ yang telah menyatukan seluruh jiwa, fikiran dan semangat, tanpa mengira rupa dan bentuk individu, bergerak sebagai satu kumpulan dan sama-sama berkorban bagi membina tamadun baru. Dorongan inilah yang telah mengupayakan umat Islam menguasai tamadun besar Rom dan Parsi pada waktu dalam masa yang sungguh singkat sekali.

Iktibar dari sejarah lampau harus ditatap dengan ikhlas dan kritis dalam melihat keadaan umat Islam hari ini. Persoalan yang perlu dijawab ialah, mengapakah setelah sekian lama kita mengamalkan ajaran Islam, umat Islam masih dikaitkan dengan sifat-sifat kemunduran? Mengapakah pula kedapatan umat Islam sendiri lebih gemar dan gembira dengan cara hidup yang diambil dari kepercayaan dan kebudayaan asing? Mengapakah juga sebahagian umat Islam berasa begitu rendah diri untuk mengamalkan ajaran Islam sebagai satu aturan dan sistem dalam urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara?

Jawapan terhadap perosalan ini tentu sekali bukan kerana agama Islam sudah tidak lagi relevan kerana agama Islam telah pun membuktikan kekuatannya sebagaimana tercatat dalam sejarah perubahan dunia pada masa lalu.

Jawapan yang agak pasti ialah kerana salah faham umat Islam terhadap agamanya sendiri. Inti sebenar ajaran Islam telah hilang dalam tanggapan dan kepercayaan kita sehingga ia tidak lagi bertaut dengan fitrah kemanusiaan semulajadi umat Islam. Elemen utama seruan Islam yang mendorong kemajuan hidup manusia tidak lagi ditanggap sebagai isu yang utama dan sentral dalam kerangka pemikiran, jiwa dan nurani umat Islam. Kesannya, fitrah kemanusiaan umat Islam menjadi terlalu lesu, beku dan lemah untuk berinteraksi secara dinamik dengan persekiran alam yang sungguh kaya raya.

Untuk itu, adalah satu tuntutan yang mendesak kini untuk umat Islam memperbaharui kefahaman mereka terhadap ajaran Islam supaya Islam sebagai agama yang mengandungi nilai-nilai dan dorongan ke arah kemajuan manusia benar-banar mampu berperanan sebagai sumber motivasi untuk mereka memulakan perubahan. Dalam erti kata lain, pemahaman umat Islam perlu dipertautkan semula dengan fitrah kejadian manusia.

Sekiranya tautan ini tidak terjadi, ajaran Islam berkemungkinan kelak menjadi satu bentuk fahaman dan kepercayaan nenek moyang sebagaimana yang telah dialami oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Kewujudan agama Islam dan pengamalannya tidak memberikan apa-apa impak kepada kemajuan hidup manusia dan tidak pula dapat menyumbang kepada perubahan dunia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: